Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 8 Jun. - Timbalan Premier Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan menyambut baik usaha memperkukuh hubungan kerjasama Yakin Football League (YFL) dan Pertubuhan Bola Sepak Lawas FA dalam sama-sama membangun dan memajukan bola sepak wilayah utara Sarawak khususnya di Kepulauan Borneo.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak menzahirkan perkara berkenaan semasa mengalu-alukan delegasi dari YFL yang mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat di sebuah hotel di Lawas, Sarawak baru-baru ini.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang yang disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif YFL, Dayang Hernah Nur Imani binti Haji Muhd. Jeffrey; dan Pengurus Am YFL, Awangku Mohd. Adam Zikry bin Pengiran Zamri.
Pertemuan berkenaan diiringi oleh Presiden Pertubuhan Bola Sepak Lawas, Madun Nasip; Naib Presiden I, Haji Abd. Kadir Haji Bayan; dan Naib Presiden II, Haji Latif Haji Damit.
Terdahulu itu, YFL dan Lawas FA telah memeterai Memorandum Persefahaman sebagai usaha kedua-dua belah pihak untuk memperkasa dan memperkukuh hubungan dalam bidang pembangunan bola sepak dan penganjuran kejohanan bersama di samping mengadakan program-program pembangunan belia serta aktiviti pembangunan komuniti melalui sukan.